PERPADUAN BUMIPUTERA: APAKAH MODEL POLITIK ANDA?
© Dato' Dr. Haji Janathan Kandok
Model Politik Perpaduan Bumiputera hendaklah mampu menyatupadukan semua bangsa, etnik dan sub-etnik dalam kelompok bumiputera tanpa mengira agama dan negeri.
Saya fikir Parti Pribumi Bersatu Malaysia mengandungi prinsip model politik baru ini.
Antara petanda model politik baru ini tertanam dalam definisi pribumi seperti yang termaktub dalam perlembagaan PPBM.
Menurut PPBM Pribumi ialah warganegara Malaysia berbangsa Melayu dan bumiputera termasuk orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang ditakrifkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Negeri dan undang-undang negara.
Dengan definisi ini semua bumiputera tanpa mengira agama, bangsa, etnik dan sub-etnik di Malaysia boleh menjadi ahli PPBM, menjadikan semua bumiputera bersatu dalam parti ini.
Sehubungan ini ada baiknya dipaparkan di sini komposisi penduduk negara ini mengikut bangsa utama supaya mudah mengaitkan kesesuaian Model Politik Perpaduan Bumiputera negara ini.
Seperti dipapar dalam maya, penduduk negara ini adalah 31.9 juta dalam tahun 2017. 90.2 peratus adalah warganegara dan 9.8 peratus bukan warganegara.
Daripada 31.9 juta, 62.1% adalah bangsa bumiputera, iaitu 58.7% terdiri daripada bumiputera Melayu dan 4.13% dari Bumiputera Lain, iaitu Orang Asli, Siam, Serani dan lain-lain minoriti bumiputera di Semenanjung Malaysia manakala di Borneo Malaysia dikenali sebagai Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak.
Daripada 31.9 juta, 28.7% ialah bangsa Cina yang terdiri daripada Foochow, Hainan, Henghua, Hokkien, Kantonis, Hakka, Teochew dan lain-lain.
Orang India pula merangkumi 7.2% daripada penduduk Malaysia yang terdiri daripada orang Tamil dari etnik Malayali, Punjabi Sikh, Telugu dan lain-lain.
Manakala 0.9 peratus penduduk Malaysia adalah yang berketurunan bangsa Asia Lain dan bangsa dunia lain yang diberi taraf warganegara.
Dari segi agama, 54.3% penduduk Malaysia merupakan penganut agama islam, manakala selebihnya adalah agama-agama lain.
Huraian ringkas di atas, lebih menyedarkan kita bahawa sememangnya bumiputera atau pribumi mengikut istilah PPBM adalah penduduk majoriti negara ini. Bagaimanapun, bumiputera terbahagi kepada beberapa bangsa, etnik, sub-etnik, agama dan negeri.
Seperti yang kita saksikan bumiputera tidak bersatu dalam sebuah parti politik. Mereka berselerakan dalam pelbagai parti politik di negara ini. Maka parti yang menjunjung model politik perpaduan bumiputera amatlah menguntungkan bumiputera. Ia wajar disokong kerana mampu menggabungkan dan memperkasakan kuasa politik bumiputera negara ini.
Namun penggabungan setakat peringkat politik dan membiarkan mereka yang berpengaruh dan tidak menganggotai sebarang parti politik seperti NGO, pemimpin-pemimpin masyarakat, para ulama-ulama, golongan professional dan generasi muda adalah langkah yang kurang bijak.
Golongan ini mempunyai pradigma atau pandangan yang tidak dimilki ahli politik dan penggabungan pemikiran mereka dalam pemikiran pemimpin-pemimpin politik bumiputera dapat menguatkan kedudukan kuasa politik bumiputera Negara ini.
Sehubungan itu, golongan berpengaruh bumiputera nonpartisan ini wajar diberi peranan bukan politik untuk perpaduan bumiputera oleh PPBM.
Seperkara lagi hal yang wajar ada dalam model politik perpaduan bumiputera ini ialah bumiputera hendaklah tidak didefinisi secara bertingkat. Contohnya, janganlah kategorikan bumiputera sebagai bumiputera islam dan bukan islam. Wajar bumiputera negara ini disebut sebagai bumiputera saja. Barulah nampak perpaduan yang tidak mengundang konflik.
Dan selagi model politik mengaitkan agama sama ada secara langsung atau tidak langsung, selagi itulah ada potensi konflik dalaman berlaku dalam kalangan bumiputera.
Apakah model politik perpaduan bumiputera anda?
TUNGGU APA LAGI?
© Dato' Dr. Haji Janathan Kandok
Sesiapapun yang berhajat menubuhkan kerajaan persekutuan akan rugi jika mengabaikan Sabah. 25 kerusi Parlimen Sabah terlalu bernilai untuk dibiarkan begitu saja, jatuh ke tangan lawan. Sebabnya, untuk layak menubuhkan kerajaan persekutuan, memerlukan 112 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat. Dan Sabah mempunyai 25 kerusi---ketiga terbanyak selepas Johor (26 kerusi) dan Sarawak (31kerusi).
Dan berlumba-lumbalah presiden parti nasional masuk ke Sabah dengan satu misi: Menawan 25 kerusi Dewan Rakyat Sabah.
Presiden parti tempatan Sabah, walau ada juga niat menawan 25 kerusi itu, namun niatnya tidak sekuat presiden parti bertaraf nasional. Sebabnya, fokus utama partinya menawan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Bukankah setiap Presiden parti tempatan tujuannya memerintah Sabah? Mana mungkin presiden itu habiskan kemampuannya mengatasi misinya memenangi pilihanraya umum negeri Sabah?
Jestru, peranan presiden parti tempatan Sabah sekadar membantu presiden parti nasional menenangi semua kerusi Dewan Rakyat Sabah, supaya rakan sekutunya itu boleh menjadi Perdana Menteri.
Jikalah ada Galari Politik Sabah, menghiasi hadapan galari itu terpacak pelbagai bendera parti bertaraf nasional---UMNO, MCA, MIC, GERAKAN, PAS, AMANAH, PKR, DAP dan PPBM. Semua parti ini ada niat memerintah negara ini atau sekurang-kurangnya mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri atau jawatan penting lain seperti Menteri Kewangan.
Takala presiden parti tempatan Sabah bermatian membantu menawan 25 kerusi parlimen, presiden itu hanya layak menjadi Ketua Menteri---bukan Perdana Menteri. Sebagai balasanya parti itu dapatlah satu atau dua jawatan menteri persekutuan, tapi bukan jawatan Perdana Menteri.
Tegasnya, dengan status parti tempatan maka dengan sendirinya presiden parti itu berada di kedudukan rendah berbandingkan presiden parti nasional. Dan selagi status partinya kekal begitu, tidak akan ada Perdana Menteri anak negeri Sabah.
Tapi, ini tidak bermakna anak negeri Sabah tidak pernah mengambil pendekatan politik yang berbeza dengan kebanyakan pemimpin politik Sabah. Pemimpin Dusun pra- kemerdekaan, Datuk Sundang Gunsanad menolak gagasan penubuhan Malaysia sebaliknya mahukan Sabah menjadi sebuah negara merdeka. Bagaimanapun, hasrat Sundang tidak berhasil. Dan kerjaya politiknya berakhir setakat Timbalan Ketua Menteri Sabah---bukan Perdana Menteri atau Presiden Negara Sabah.
Ada juga pemimpin tempatan Sabah yang mahukan Sabah mengikuti jejak Singapura, keluar daripada Malaysia, namun gagasan ini tidak diterima dengan baik dalam beberapa Pilihanraya umum lepas. Dan setakat ini masih pemimpin parti pembangkang---bukan Perdana Menteri, apa lagi Presiden Negara Sabah.
Jikalah jawatan Perdana Menteri boleh digilirkan, sudah pasti anak negeri Sabah ada peluang menjadi Perdana Menteri tetapi melihat situasi sekarang selamanya pemimpin politik Sabah tidak berpeluang menjadi Perdana Menteri, kecuali mereka menubuhkan parti politik bertaraf nasional atau menyertai parti politik perdana.
Orang Sabah mahu jadi Perdana Menteri? Tunggu apa lagi. Jadi Perdana Menteri bukan jenayah.
ORANG SABAH MAHU JADI PERDANA MENTERI?
© Dato' Dr. Haji Janathan Kandok
Seingat saya, pemimpin politik Sabah tidak pernah menubuhkan parti politik bertaraf nasional. Semua parti politik yang ditubuhkan hanya bertaraf negeri sahaja.
Saya percaya orang Sabah mempunyai peluang menjadi Perdana Menteri melalui parti politik bertaraf nasional, manakala parti politik tempatan hanyalah laluan untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.
Sejak mencapai kemerdekaan, Sabah mempunyai 15 orang Ketua Menteri. 11 orang dilantik daripada presiden Parti tempatan dan 4 lagi daripada Ketua Perhubungan UMNO Sabah (Parti bertaraf Nasional).
Ketua Menteri Sabah pertama (1963-1964) ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (UNKO), Tun Fuad Stephens. Sesudah memegang jawatan itu selama dua tahun, Tun Fuad digantikan dengan Sabah Chinese Association (SCA) Presiden, Tan Sri Datuk Peter Lo Sui Yin (1965-1967).
Ketua Menteri Sabah ke tiga (1967-1975), ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tun Datu Mustapha Datu Harun sebelum digantikan Tun Mohd Said Keruak, Pemangku Presiden USNO (1976-1975).
Ekoran daripada tumbangnya kerajaan USNO pada tahun 1976, Tun Fuad Stephens, Presiden BERJAYA dilantik sebagai Ketua Menteri dalam tahun 1976. Bagaimanapun, Tun Fuad terkorban dalam Tragedi Double Six pada 6 Jun 1976, telah menjadikan Tan Sri Harris Salleh, Pemangku Presiden Berjaya sebagai Ketua Menteri pada tahun 1976 sehinggalah BERJAYA kalah di tangan PBS pada tahun 1985. Sehubungan itu, Presiden PBS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dilantik I :OKetua Menteri sehingga tahun 1994.
Berikutan dengan perubahan lanskap politik Sabah yang dikuasai parti peringkat nasional (Barisan Nasional) yang mengamalkan sistem penggiliran Ketua Menteri setiap dua tahun, enam orang Ketua Menteri telah dilantik dalam kalangan ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional.
Mendahulu penyandang jawatan di bawah sistem ini ialah Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Tun Sakaran Dandai (1994-1995), diikuti dengan Datuk Seri Panglima Mohd. Salleh Tun Mohd. Said, Ketua Perhubungan UMNO Sabah (1995-1996).
Tahun 1996-1998, Ketua Menteri Sabh ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee sebelum digantikan dengan Presiden Parti Demokratik Sabah, Tan Sri Bernard Dompok (1998-1999).
Kemudian, jawatan Ketua Menteri ini diberikan kepada Ketua Perhubungan UMNO, Sabah, Datuk Seri Panglima Osu Haji Sukam (1999-2001) sebelum diserahkan kepada Presiden Parti Liberal Demokratik Sabah, Tan Sri Datuk Seri Panglima Chong Kah Kiat (2001-2003).
Pada tahun 2003, Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Tan Sri Musa Aman dilantik sebagai Ketua Menteri ke 14 dan kekal dalam jawatan itu sehingga tahun 2017.
Terkini, 2018, Ketua Menteri Sabah ialah Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Berdasarkan paparan di atas, jelaslah bahawa presiden parti tempatan berjaya menjadi Ketua Menteri Sabah. Begitu juga Ketua Parti bertaraf nasional, malahan berjaya menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah (Tan Sri Musa Aman) paling lama, iaitu selama 14 tahun.
Disisi lain, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, penyandang jawatan Naib Presiden UMNO sebelum menubuhkan WARISAN, telah berada diposisi strategik untuk mengintai peluang keemasan menjadi Timbalan Perdana Menteri melalui jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Benarlah cakap saya bahawa orang Sabah mempunyai peluang menjadi Perdana Menteri melalui Parti bertaraf nasional, manakala parti tempatan hanyalah laluan untuk menjadi Ketua Menteri Sabah.
Orang Sabah mahu menjadi Perdana Menteri, mungkin PPBM laluan terbaik anda.
FALSAFAH POLITIK PPBM MENEPATI KOMPOSISI PENDUDUK BUMIPUTRA SABAH
© Dato' Dr. Haji Janathan Kandok
Kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah di Sabah sejak 1 April 2019, wajar juga rakyat mengenali parti ini bukan sahaja bagi tujuan politik tetapi juga sekadar pengetahuan supaya dapat mengelak daripada maklumat yang kurang tepat yang mungkin boleh menyebabkan tanggapan yang mengelirukan rakyat terhadap parti ini.
Dalam hal ini, izinkan saya mengupas secara ringkas definisi pribumi dan beberapa matlamat parti ini yang begitu releven dalam konteks anak negeri Sabah. Mudahan saya dapat mengesan sebahagian falsafah parti ini dan kepentingannya kepada anak negeri Sabah.
PPBM mendefinisikan Pribumi sebagai warganegara Malaysia berbangsa Melayu dan Bumiputera termasuk orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak seperti yang ditakrifkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Negeri dan undang-undang negara.
Dengan kata lain, PPBM telah meletakkan penduduk asal Sabah sebaris dengan Melayu dalam konteks haknya dalam parti. Perletakan status ini melunturkan kebingungan anak negeri Sabah apakah masa depan mereka terjaga dalam parti yang baru bertapak di Sabah.
Dari segi matlamat, PBBM meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.
Singkatnya, PPBM mengekalkan keadaan sedia ada dalam konteks keharmonian rakyat berbilang agama dan kepercayaan. Sikap PPBM ini amatlah baik terutama dalam konteks Sabah yang bukan sahaja berbilang bangsa bukan islam bahkan berbilang etnik dan sub-etnik. Hal ini dapat dijadikan pegangan pemimpin PPBM supaya lebih berhati-hati dalam perilaku dan tindakan agar etnik dan sub-etnik berasa tidak dipinggirkan dalam pembangunan rakyat.
Dalam konteks ini, PPBM menampakan pengiktirafan terhadap hubungan orang Islam dan bukan Islam di Sabah yang dikatakan sesuai dijadikan role model hubungan antara orang Islam dan bukan islam di negara ini.
PPBM juga mempertahankan kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan hak-hak yang sah untuk semua kaum. Hal ini menjamin keistimewaan dan hak-hak anak negeri Sabah terutama dari segi tanah adat dan sebagainya.
Dari segi pemeliharaan hak semua kaum untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing, PPBM menjadikan hal ini antara tujuan penubuhan PPBM. Tegasnya, ketika anak negeri Sabah yang ketika ini berjuang mempertahankan budaya dan hak-hak etnik dan sub-etnik masing-masing melalui NGO kesukuan, kini sebuah parti besar politik telah komited melindungi kepentingan etnik dan sub-etnik dengan menjadikan keistimewaan dan hak-hak anak negeri Sabah sebagai tujuan parti---sesuatu yang lebih berpengaruh berbandingkan NGO.
Di bawah definisi dan matlamat PPBM, anak negeri Sabah dilindungi keistimewaan dan haknya sebagai warganegara Malaysia. Tegasnya falsafah politik PPBM adalah menepati komposisi penduduk anak negeri Sabah.
Keadaan ini adalah tarikan terbaik bagi anak negeri Sabah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia, parti perdana untuk bersatu memperkasakan kemajuan mereka.
FALSAFAH POLITIK ONN JAAFAR MUNCUL LAGI?
© Dato' Dr. Haji Janathan Kandok
Hidup dalam persekitaran bangsawan Melayu mungkin telah menjadikan kecenderungan politik Dato Onn Jaafar lebih berat kepada satu bangsa---Melayu. Maka Onn pun mengasaskan
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] pada 1 Mei 1946, parti politik orang Melayu.
Beberapa tahun berlalu, Onn dapat mengesan kelemahan parti itu. Menurutnya, UMNO wajar membuka pintunya kepada kaum lain. Bagaimanapun, hasrat itu tidak dapat ditunaikan kerana UMNO mengamalkan dasar perkauman dan apabila cadangannya membuka keahlian UMNO kepada semua penduduk Tanah Melayu tanpa mengira kaum dan nama UMNO ditukarkan menjadi Pertubuhan Kebangsaan Penduduk Tanah Melayu Bersatu ditolak, beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
Sehubungan itu, Onn meninggalkan UMNO untuk memimpin parti baru---Parti Kemerdekaan Malaya pada tahun 1951. Memandangkan parti itu tidak mendapat sambutan maka beliau membubarkan parti itu dan menubuhkan Parti Negara pada tahun 1953.
Saya percaya, perpindahan Onn dari parti ke parti dipandu falsafah politiknya yang diangkat daripada kedudukan negara berbilang kaum yang memerlukan sebuah parti untuk semua kaum---bukan untuk Melayu sahaja.
Malangnya, falsafah politiknya tidak diterima rakyat. Buktinya dalam pilihanraya umum Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955, Parti Negara hanya dapat satu kerusi sahaja. Namun pemimpin seterusnya dapat mengesan kebaikan falsafah politik Onn ini dalam jangka panjang.
Lama sebelum penubuhan Parti Kemerdekaan Malaya dan Parti Negara, sebuah parti politik, Parti Perikatan ditubuhkan pada bulan Disember 1951. Parti ini adalah gabungan dua buah parti politik yang besar iaitu UMNO dan MCA. Dalam tahun 1954 parti MIC menyertai Parti Perikatan ini. Tahun 1957 Parti ini didaftarkan dengan rasminya sebagai sebuah organisasi politik. Pada tahun 1973, Barisan Nasional telah ditubuhkan untuk menggantikan Parti Perikatan dan parti ini meneruskan pemerintahannya sejak kemerdekaan sehingga tewas pada pilihan raya 14 tahun 2018.
Parti Perikatan dan Barisan Nasional adalah gabungan beberapa parti perkauman. Hal ini menampakkan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India mengakui betapa pentingnya wujud perpaduan kaum melalui penggabungan parti-parti politik yang mewakili kaum masing-masing. Falsafah politik ini hampir menyamai falsafah politik Onn, sekurang-kurangnya diperingkat penyatuan parti politik pelbagai kaum.
Ketika menerajui UMNO, Onn telah mencadangkan supaya keahlian UMNO terbuka kepada kaum lain selain Melayu tetapi cadangan beliau ditolak. Bagaimanapun, apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991, falsafah politik Onn muncul kembali. Menyedari komposisi bumiputra di Sabah tidak sama dengan yang ada di Semenanjung, UMNO telah mendefinisikan takrifan Melayu untuk membolehkan bumiputra dan bukan Islam menyertai UMNO. Ini mungkin ada sedikit persamaan dengan falsafah politik Onn, sekurang-kurangnya keahlian UMNO di peringkat rakyat rumpun Melayu.
Hal ini lebih menarik jika kita dapat mengupas falsafah politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia, PPBM dengan niat untuk mengesan apakah falsafah politik Onn menempatkan dirinya dalam parti ini yang telah menggembangkan sayapnya di Sabah pada 1 April 2019 lalu.
DAN TARIKAN ITU VISI NEGARA
© Dato' Dr. Haji Janathan Kandok
Politik ialah tentang pemerintahan dan penyelenggaraan negara. Mungkin banyak lagi definisi lain tetapi pada tahap ini, biarlah kita gunakan definisi ini.
Betapa sukar mentadbir negara sukar digambarkan, apa lagi orang seperti kita yang tidak pernah menjadi Perdana Menteri bahkan setakat berangan-anganpun tidak pernah.
Namun, mendekati kefahaman tentang pentadbiran negara, tidak salah mengetahui sedikit apakah tanggungjawab seorang Perdana Menteri. Mari kita misalkan anda Perdana Menteri Malaysia.
Anda baru sahaja angkat sumpah di hadapan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Kini, sahlah anda Perdana Menteri. Apakah anda lakukan sesudah mendapat lantikan jawatan paling penting dalam negara ini?
Mungkin sebelum menjadi Perdana Menteri, anda sudah seneraikan ratusan perkara yang mahu dilakukan. Nampak mudah, tinggal tambah lagi beberapa perkara tetapi jangan lupa banyak perkara yang mempengaruhi tindakan anda seperti kepentingan politik, ekonomi, keselamatan dan keinginan para pejuang dan penyokong yang telah menaikkan anda ke jawatan Perdana Menteri.
Memikir-mikirkan hal ini, anda semakin bingung mana satu yang diberi keutamaan. Namun, mujurlah anda putuskan satu hal yang sangat penting dalam sesuatu pentadbiran, iaitu menetapkan visi dan misi.
Visi adalah suatu pandangan jauh berupa bayangan tentang apa yang wajar dicapai negara dalam tempoh yang ditetapkan. Misipula ialah pernyataan tentang apa yang wajar dilakukan untuk mencapai Visi.
Mungkin ramai yang tidak setuju tindakan menetapkan visi dan misi dalam organisasi yang beroperasi dalam persekitaran yang tidak menentu. Tetapi, bukankah ramalan cuaca banyak membantu juruterbang di seluruh dunia, bahkan jika tiada ramalan cuaca mungkin dengan sedikit mendung, juruterbang tidak berani menghidupkan pesawat. Hal ini terpakai dalam pengurusan negara.
Visi dan misi dapat membantu Perdana Menteri menyusun strategi mencapai impian negara. Ini benar sebab tanpa visi dan misi, bagaimana menyusun tindakan jika tidak ditetapkan dahulu apa yang perlu dicapai?
Visi dan misi dapat membantu menentuk keutamaan tindakan dan mengelakkan daripada melakukan apa yang tidak berkaitan dengan apa yang perlu dicapai.
Tegasnya visi dan misi dapat mengelakkan pelbagai hasutan yang menyimpangkan negara daripada mencapai visi yang ditetapkan.
Visi dan misi yang jelas akan mendorong rakyat untuk bersama kerajaan untuk mengejar impian. Mereka sanggup bersama Perdana Menteri sebab mereka faham apakah halatuju negara.
Dengan adanya visi dan misi, dapat membantu Perdana Menteri untuk menilai prestasi kerajaan: Apakah negara sudah mendekati atau menjauhi visi dan misi yang telah ditetapkan.
Seingat saya, visi negara---menjadikan negara Maju dalam tahun 2020 masih kekal. Hanya yang diubah ialah tempoh pencapaian, iaitu tahun 2025. Dua Perdana Menteri yang lalu---Tuan Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak---mengekalkan visi negara yang telah ditetapkan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sedihnya, pengenalan tagline kerajaan dibawah pemerintahan Tun Abdullah Badawi, iaitu Islam Hadhari dan Kerajaan dibawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu 1 Malaysia telah menenggalamkan wawasan 2020 sebagai halatuju negara.
Politik ialah tentang pemerintahan dan penyelenggaraan negara. Sebagai pemimpin politik dan ketua kerajaan, Perdana Menteri wajib ada sumber tarikan yang kuat bagi rakyat dan para pejuang untuk terus menyokong pemerintahan dan kegiatan penyelenggaraan negara. Dan tarikan itu ialah Visi Negara.